Friday, September 28

Waspada Tawaran Kerja Oleh Agensi


IPOH - Kementerian Sumber Manusia menasihatkan golongan pencari kerja supaya berwaspada terhadap mana-mana iklan jawatan kosong oleh agensi atau syarikat untuk mengelak kejadian jenayah menimpa mereka.

Timbalan Menterinya, Datuk Maznah Mazlan berkata golongan itu juga boleh membuat langkah proaktif dengan menyemak terlebih dahulu maklumat mengenai agensi atau syarikat berkenaan dengan Jabatan Tenaga Kerja di bawah kementerian itu.

"Melalui Jabatan Tenaga Kerja, kita ada akta yang mengawal agensi pekerjaan dan mereka ini perlu berdaftar dan apabila buat iklan dalam surat khabar atau online mereka kena guna rujukan pendaftaran," katanya kepada pemberita selepas majlis Konvokesyen Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) siri pertama di sini, hari ini.

Beliau mengulas penahanan seorang lelaki semalam yang dipercayai terlibat dalam beberapa kes rogol dan rompak sejak 2010 di Seksyen 27, Shah Alam.

Lelaki itu mengiklankan tawaran pekerjaan dengan gaji lumayan di internet, khas untuk golongan wanita sahaja dan mangsa yang kononnya disenaraipendek bagi mengatur sesi temuduga di hotel-hotel mewah dengan meminta mangsa mendaftar masuk atas nama mangsa sendiri.

Beliau berkata orang ramai boleh menyemak agensi dan syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan dengan melayari website www.mohr.gov.my atau menghubungi Jabatan Tenaga Kerja yang berdekatan.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan untuk memantau agensi atau syarikat yang mengiklankan peluang pekerjaan di merata-rata tempat agar masalah sedemikian tidak berulang.

"Yang mana dah ada dalam kita punya portal Job Malaysia itu semua latar belakangnya telah disahkan oleh Jabatan Tenaga Kerja. Macam iklan di merata-rata yang tidak berdaftar kita akan pantau," katanya.

Pada majlis itu, 78 perantis Kumpulan Pertama SLDN menamatkan program dan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dengan penglibatan SKM tahap satu seramai 19 perintis, SKM tahap dua, tiga perantis dan SKM tahap tiga 57 perantis.

Program kerjasama di antara Mydin dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah kementerian berkenaan untuk peringkat Pasar Raya Mydin seluruh negara dilancarkan secara rasmi pada 19 Okt tahun lepas.

Mengulas lanjut, Maznah berkata syarikat peruncitan di seluruh negara perlu mengambil peluang untuk menjalankan program tersebut kerana ia mentransformasikan perspektif yang diperlukan dalam bidang peruncitan dan menjamin tenaga kerja yang mahir seiring dengan kepesatan serta kemajuan negara.

"Majlis ini merupakan penuh bersejarah dalam bidang peruncitan yang mana Mydin hypermarket pertama mengadakan program ini. Ini perlu diikuti oleh peniagaan peruncitan yang lain kerana ia merupakan satu ukuran yang akan menjamin produktiviti dan daya saing pekerja yang berilmu," katanya. - Bernama

0 comments:

Post a Comment