Showing posts with label artikal. Show all posts
Showing posts with label artikal. Show all posts
Tuesday, January 15
Risau belum dapat kerja
SAYA graduan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang baru menamatkan pengajian dengan keputusan agak baik. Saya anak yang menjadi harapan keluarga kerana seorang saja yang berjaya masuk ke universiti.
Untuk pengetahuan ,saya sudah hampir enam bulan menganggur. Sebelum menamatkan pengajian, saya pernah mencari kerja tapi yang biasa saja seperti kerja kilang, di kedai kasut dan butik. Saya bekerja tidak lama, sekadar ingin menimba pengalaman dan belajar untuk berinteraksi dengan orang ramai.
Sejak beberapa hari ini, saya sering mendapat mesej daripada teman belajar dulu yang sering bertanya perkembangan diri. Ini menyebabkan kadang-kadang saya segan sebab masih menganggur. Tambahan lagi, saya lihat ada antara rakan yang sudah mendapat pekerjaan bagus. Segelintir daripada mereka memperolehnya menggunakan orang dalam dan ada yang bernasib baik menyambung kontrak dengan tempat praktikal dulu.
Saya pernah menghadiri temu duga tetapi komunikasi saya dalam bahasa Inggeris tidaklah hebat . Namun saya cuba sebaiknya, malah cuba memperbaikinya sendiri. Untuk pengetahuan Dr juga, ibu bapa saya tidak mempunyai kelulusan tinggi setakat darjah enam dan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). 123 N 123 123 N 123
Kadang-kadang jika saya ingin meluahkan masalah, mereka tidak akan faham terutama bapa saya. Bapa sering mempertikaikan kebolehan saya, malah meluahkan rasa kesal kerana menghantar saya ke universiti, lebih-lebih lagi apabila dia melihat saya sukar mendapat kerja berbanding abang yang berkelulusan rendah. Emak pula sering membandingkan saya dengan anak jiran dan sepupu, malah sering mengeluh kerana merasakan saya mengambil kursus yang salah.
Saudara-mara juga sering berkata hal yang sama malah pernah seorang ibu saudara mengatakan saya ini hanya menghabiskan beras semata-mata kerana duduk di rumah saja.
Pada mulanya memang saya pekakkan telinga tetapi lama kelamaan agak berkecil hati dengan mereka. Pernah juga saya menghadiri program kerjaya, kononnya memberi beribu-ribu peluang pekerjaan tetapi tiada balasan positif. Saya cuba juga menghantar resume di kilang berdekatan rumah namun tiada juga apa-apa perkembangan.
Saya selalu terfikir apa salah saya. Saya tahu rezeki memang ada sama ada lambat atau cepat namun disebabkan hal ini saya jadi putus asa dan bingung. Keyakinan diri juga semakin berkurangan. Jujurnya saya risau dengan masa depan saya.
MASIH MENCARI,
Johor
DOKTOR simpati dengan masalah adik. Nilai kerjaya dalam hidup adalah tinggi. Ahli perkembangan kerjaya menjelaskan manusia bekerja untuk memperoleh nilai ekonomi iaitu sebagai satu cara untuk mendapatkan wang. Selain itu, pekerjaan juga mempunyai fungsi lain seperti menghubungkan individu dengan masyarakat.
Pekerjaan menyediakan individu serta keluarga akan status, penghargaan dan juga elemen psikologi dan sosiologi. Ia menghubungkan individu dengan masyarakat yang kompleks.
Pekerjaan menyumbang kepada elemen psikologi individu. Justeru, apabila adik tidak mempunyai pekerjaan, adik menjadi putus asa, bingung serta mempunyai keyakinan diri yang berkurangan. Secara psikologinya, perasaan adik adalah reaksi normal tapi perlu dirawat.
Sikap bapa, keluarga dan saudara-mara terhadap adik disebabkan harapan mereka yang tidak dipenuhi. Memperlekehkan dan membuat perbandingan berlaku kerana mereka mengharapkan adik memperoleh pekerjaan selesa sebaik tamat pengajian.
Reaksi sebegini walaupun melukakan hati tapi berlaku kerana adik masih belum memenuhi tuntutan mereka iaitu memperoleh pekerjaan selesa.
Masalah sukar mendapat pekerjaan juga dihadapi ramai lepasan universiti ketika ini. Setiap tahun, ramai graduan dilahirkan institusi pendidikan tempatan ataupun luar negara. Beberapa tahun kebelakangan ini, dikatakan graduan muda sukar mendapat pekerjaan.
Beberapa pandangan timbul mengenai isu ini. Antaranya, pandangan yang menjelaskan ramai lepasan universiti tidak mempunyai beberapa kemahiran termasuk komunikasi, penampilan diri serta penulisan resume.
Pihak graduan pula melihat majikan terlalu memilih. Majikan mahukan pekerja berpengalaman tetapi gaji yang murah berbanding sepatutnya. Pandangan ini menjelaskan majikan tidak mahu mengeluarkan kos untuk memberi kursus atau latihan pekerjaan kepada graduan baru.
Seterusnya, ada graduan yang melihat terdapat institusi pendidikan kurang memberikan pendedahan dunia pekerjaan sebenar. Misalnya memberikan peluang latihan industri kepada bakal graduan mereka.
Apapun pandangan, pihak terbabit seperti kerajaan, swasta, persatuan yang mewakili majikan dan pencari kerja perlu berbincang untuk mencari jalan mengatasi masalah pengangguran di kalangan graduan.
Antara cadangan diberikan ialah institusi pendidikan memainkan peranan membantu graduan mendapatkan pekerjaan. Institusi pendidikan boleh memberikan pendedahan dunia pekerjaan sebenar melalui latihan Industri dan kemahiran berkomunikasi.
Majikan pula boleh memberi peluang kepada graduan baru untuk menimba pengalaman dengan memberikan latihan dan kursus bersesuaian dengan kerja diberikan.
Usaha yang berterusan daripada adik untuk mendapatkan pekerjaan amat diperlukan. Pekerjaan perlu dicari dan bukan ditunggu.
Seorang Muslim adalah seorang yang tidak mengenal erti putus asa dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam apa jua perkara (lihat surah al-Zumar: ayat 39).
Usaha daripada adik termasuk menghadiri karnival kerjaya, meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris, berkomunikasi, penampilan diri dan penulisan resume.
Berfikir positif bahawa segala teguran bapa serta keluarga adalah pembakar semangat untuk terus berusaha mencari pekerjaan dapat meningkatkan keyakinan diri.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/14
Sumber mymetro
Thursday, July 5
Perbetulkan sikap terlebih dahulu
“PERMOHONAN anda gagal kerana kami memerlukan pekerja berpengalaman saja.” Sebaris ayat ringkas namun mampu melunturkan semangat pencari kerja terutama di kalangan graduan baru yang masih berkobar-kobar mengisi pelbagai jawatan diiklankan di dada akhbar. Biarpun bukan isu hangat, hakikatnya ramai graduan terpaksa bersaing sesama sendiri untuk mencari pekerjaan sesuai apatah lagi jika pengalaman menjadi ukuran.
Rungutan menembusi tembok industri pekerjaan juga menjadikan masyarakat tertanya-tanya mengapakah majikan hari ini seperti enggan memberi peluang kepada graduan baru menunjukkan kemampuan.
Menggunakan alasan pengalaman sebagai syarat utama menolak permohonan, adakah ia penyebab ramai graduan hari ini sukar memperoleh pekerjaan?
Pensyarah Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna Universiti Putra Malaysia (UPM), Bukryman Sabri berkata, tiada pengalaman bukan prasyarat utama graduan baru sukar memperoleh pekerjaan, sebaliknya sikap kurang optimis sewaktu temu duga selain gemar memilih pekerjaan menjadikan mereka gagal.
Beliau berkata, sebahagian besar majikan masa kini tidak terkongkong dengan pemikiran tipikal, malah semakin terbuka dan suka memilih pekerja muda di kalangan graduan biarpun tanpa pengalaman.
“Masalahnya bukan pada majikan yang selektif tetapi diri graduan sendiri kadangkala tidak serius melakukan tindakan. Mereka inginkan kerja tapi tidak serius, kurang bersedia dan akhirnya mencacatkan peluang diri sendiri.
“Justeru, jangan jadikan faktor tiada pengalaman dan majikan sebagai alasan. Ada baiknya melihat dan menilai diri dulu apakah kekurangan atau keistimewaan sedia ada.
“Apakah sudah bersedia bertemu serta ‘memikat’ mata dan hati majikan dengan jawapan yang bernas?” katanya.
Rungutan, rintihan mahupun kesukaran graduan baru tanpa pengalaman memperoleh pekerjaan bukan perkara baru, namun agak janggal jika masih berlaku pada saat industri sudah membuka peluang kerjaya seluasnya.
Apatah lagi orang luar memperakui negara ini bagai lubuk emas, graduan baru sebaliknya terus bersungut mengenai peluang yang dikatakan semakin mengecil.
Alasan tidak diterima bekerja kerana tidak berpengalaman hanya bagi menutup rasa kecewa tidak terpilih.
“Ia cukup rapuh dan satu cara memanipulasi rasa kecewa. Hari ini tiada sebab majikan menolak permohonan andai kata memenuhi kriteria dicari.
“Buktinya, orang yang kurang atau tiada kelulusan pun boleh mendapat pekerjaan, mengapa graduan yang lebih sengsara?
“Isu di sini bukan pengalaman tetapi sikap. Minda graduan ini perlu ‘diperbetulkan’ supaya mereka dapat melihat konsep serta makna pekerjaan sebenar,” katanya yang mengakui graduan tidak mahu pekerjaan yang seolah-olah memperlekehkan status mereka.
“Mereka meletak status ‘graduan’ di tempat tinggi dan berprestij. Pekerjaan di bawah tahap kelayakan akan menjatuhkan maruah dan menjadi buah mulut masyarakat.
“Bagi mereka, apa guna belajar pandai-pandai akhirnya menjadi pekerja bawahan. Justeru, mereka rela menganggur daripada menerima cemuhan.
“Benar sudah belajar tinggi dan ada kelayakan ijazah tetapi hinakah jika bekerja bukan sebagai pegawai?” katanya.
Graduan baru perlu memberi peluang kepada diri sendiri mencuba dan membuat eksperimen sebagai langkah pertama.
Mereka perlu mendidik diri supaya berlapang dada menerima pekerjaan ditawarkan meskipun hanya syarikat kecil.
“Jika sukar mendapat pekerjaan di syarikat gergasi, apa salahnya bermula di syarikat kecil, yang penting pengalaman.
“Malangnya, kebanyakan graduan tidak melihat skop ini kerana mereka hanya mahu bekerja di syarikat ternama, besar dan berhawa dingin,” katanya.
Beliau turut menafikan graduan tidak dibekalkan kemahiran mencukupi bagi membantu menempatkan diri dalam dunia pekerjaan sebenar.
“Semua institusi pengajian tinggi kini mewajibkan mahasiswa menjalani latihan industri yang juga medan memperoleh pengalaman biarpun tempohnya singkat.
“Modul pembelajaran turut dilengkapi aspek pembinaan sahsiah diri dan keusahawanan. Semuanya lengkap bagi membantu mereka merencanakan masa depan dengan baik.
“Malah, majikan menerima kehadiran mereka melakukan tugasan praktikal. Jadi di mana silapnya jika tidak terpilih?
“Pekerjaan sentiasa ada, cuma graduan sendiri yang menyekat diri daripada memperoleh peluang itu,” katanya.
Graduan Management and Science University (MSU), Nurain Zahzali berkata, dia mengakui bahang persaingan mencari pekerjaan namun tidak pernah penat mencuba.
“Setiap kali temu duga, antara soalan wajib ialah ada pengalaman atau tidak. Soalan itulah yang menyebabkan saya sering putus asa.
“Saya memang tiada pengalaman tapi penuh keyakinan mampu melaksanakan tugasan dengan baik jika diberi peluang. Seharusnya aspek itu turut diambil kira,” katanya.
Dia mengakui bidang kerjayanya mencabar dan memang memerlukan mereka yang berpengalaman.
Sebagai jalan penyelesaian, graduan dari Kluang, Johor ini mengambil keputusan bekerja sambilan bagi menimba pengalaman.
“Ini saja caranya saya dipandang majikan. Biarpun hanya sambilan, saya menunjukkan kesungguhan dan komited,” kata pemegang Diploma Teknologi Makmal Perubatan ini.
Rakannya, Muhammad Rizaa Zainal Abidin berkata, sikapnya yang suka mencuba pekerjaan baru bersandarkan minat menyebabkan dia sering bertukar kerja.
“Saya akui walaupun cara ini kurang menyenangkan, ia mampu meningkatkan pengalaman sedia ada. Yang pasti, saya mencari pekerjaan yang benar-benar diminati.
“Majikan juga tidak sukar menawarkan pekerjaan kerana sudah ada pengalaman. Bagaimanapun, ia bukan penyebab saya senang memperoleh pekerjaan.
“Banyak lagi aspek lain dilihat majikan. Cuma sikap yang tidak betah bertahan di sesuatu tempat menjadikan saya masih tercari-cari pekerjaan sesuai,” katanya yang mengikuti Diploma Pengurusan.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/02 sumber : http://www.hmetro.com.my
Subscribe to:
Posts (Atom)
Popular Posts
-
Pengambilan 1,681 jururawat berkelulusan IPT dibuka KUALA LUMPUR 4 April - Kementerian Kesihatan akan membuat pengambilan 1,681 jurur...
-
Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu sebuah Badan Berkanun di bawah Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani Malaysia mempelawa Warganeg...
-
Adakah ada menerima surat panggilan untuk menghadiri Peperiksaan Pegawai Tadbir Diplomatik pada 13 April ini. Namun jika anda masih belum...
-
Pihak Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mengalu-alukan rakyat Malaysia yang mempunyai kelayakan untuk memohon jawatan-jawatan yang...
-
PUTRAJAYA 8 Feb. - Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menjelaskan, faktor kelulusan, kekosongan dan enggan berpindah ke jabatan lain ada...
-
PELUANG KERJAYA DALAM PERKHIDMATAN AWAM Dalam bulan Oktober/November ini, SPA akan melaksanakan urusan pengisian jawatan kosong peringk...
-
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melancarkan Sistem Pengurusan Pengambilan Atas Talian (SPAT) bagi pengambilan jawatan-jawatan...
-
We are looking for dynamic and highly motivated individuals to contribute to the growth of our airline. If you would like to apply for a ...
-
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan membuat pengambilan baru seramai 1,681 orang graduan lepasan diploma kejururawatan untuk berkhi...
-
Semalam saya kongsi link semakan panggilan untuk hadir Exam Peperiksaan Bertulis Pegawai Tadbir Diplomatik. Ramai yang kata tak dapat nak ...

